Hidangan tradisional di angkasaraya

Discussion in 'Kuliner' started by teresastracke, Nov 30, 2017.

  1. teresastracke

    teresastracke New Member

    MELIHAT kepada konsep Restoran Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur yang eksklusif seperti berada di dalam kapal angkasa, pasti ramai menyangka ia hanya menyajikan hidangan Barat.

    Siapa sangka restoran berputar yang beroperasi di ketinggian 282 meter itu menawarkan pelbagai makanan tradisional kita.

    Ekor lembu stew masak asam pedas, ikan patin tempoyak, kerabu jantung pisang dan sambal tumis petai antara hidangan istimewa di meja bufet mereka yang pastinya membuatkan sesiapa saja terliur.

    Selain masakan tradisional, Atmosphere 360 turut membariskan pelbagai hidangan seperti masakan Barat, Cina, India, Thailand dan Jepun.

    Menurut Pengarah Urusan Atmosphere 360, Datuk Mohd. Sabri Mohd. Nadzir, beliau dan pemilik-pemilik restoran yang lain sepakat untuk mengetengahkan hidangan tradisional Malaysia sebagai menu utama.

    "Kira-kira 65 peratus pelanggan kami ialah pelancong asing jadi kami rasa ini cara terbaik memperkenalkan hidangan tradisi kita ke persada dunia.

    "Kami turut menyasarkan golongan muda untuk datang merasai sendiri keenakan masakan tradisional yang sekarang semakin sukar didapati sambil menikmati panorama Kuala Lumpur yang indah dari atas menara ini.

    "Tidak banyak restoran seperti kami yang berani mengetengahkan hidangan tradisional sebagai masakan signatur kerana kebanyakannya lebih ke arah Barat.

    "Namun, ada beberapa masakan yang diubah suai resipinya agar dapat diterima lidah mereka tetapi masih mengekalkan rasanya kerana sebagai contoh, tidak semua orang boleh menikmati masakan yang pedas," ulasnya.

    MenaraRestoran yang terletak di menara tertinggi Asia Tenggara itu turut menyediakan pelbagai pilihan pencuci mulut seperti serawa durian, penkek durian, puding mangga, kuih-muih tradisional, pelbagai seleksi kek dan tidak lupa buah-buahan tempatan.

    Selain hidangan bufet, restoran Atmosphere 360 turut menghidangkan pelbagai jenis masakan ala carte seperti ikan kod bakar masak kicap, daging lembu Wagyu masak lada hitam dan udang galah panggang.

    Restoran Atmosphere 360 dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga 11 malam.



    Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/inf...aysia&sec=Keluarga&pg=ke_04.htm#ixzz4zsnxSs1B
    © Utusan Melayu (M) Bhd

Share This Page